KANGAR, 16 Jun- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menumpaskan rangkaian pengedaran dadah rentas sempadan membabitkan Malaysia dan Thailand, susulan rampasan lebih 7.18 kilogram (kg) ganja dan syabu bernilai lebih RM22,000 dalam dua serbuan berasingan baru-baru ini.
Ketua Polis Perlis, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Datuk Muhammad Abdul Halim, berkata rampasan pertama melibatkan ganja seberat 4.2 kg dianggarkan bernilai RM13,000 yang ditemui di kawasan hutan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand pada 9 Jun. Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan dalam serbuan itu.
Manakala dalam serbuan kedua pada 11 Jun, dua lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 25 tahun diberkas di Bukit Keteri dan Alor Setar, melibatkan rampasan 2.98 kg ganja dan syabu bernilai lebih RM9,000.
Menurut Datuk Muhammad Abdul Halim, suspek dipercayai bertindak sebagai penghantar dadah dari Thailand ke Malaysia berdasarkan permintaan, dan menerima upah sekitar RM1,500 bagi setiap penghantaran.
“Kita telah berjaya menyekat atau melumpuhkan salah satu rangkaian pengedaran yang melibatkan 'transporter'. Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Narkotik, pergerakan mereka sangat licik dan memerlukan koordinasi pelbagai cawangan untuk membolehkan penahanan dilakukan,” katanya dalam sidang media di IPK Perlis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.