fb fb fb fb fb

Sindiket dadah terbesar di Sarawak tumpas, rampasan cecah RM8.53 juta

Datuk Mancha Ata menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang media hari ini

SIBU, 16 Jun- Polis Sarawak berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri berkenaan setakat ini, dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan harta dianggarkan berjumlah RM8.53 juta.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata kejayaan itu susulan dua serbuan besar yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pada 12 dan 13 Jun lalu.

Menurut beliau dalam serbuan di sekitar Pusat Pedada dan Lorong Permai Jaya, Sibu itu, polis menahan sepasang suami isteri berusia 52 dan 44 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan.

“Jumlah rampasan dadah serta sitaan harta dianggarkan RM8.53 juta, menjadikan ia kes terbesar di Sarawak setakat ini. Siasatan awal mendapati pasangan terbabit aktif mengedar dadah di Sibu sejak tahun 2015,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari Semenanjung Malaysia melalui perkhidmatan kurier untuk diedarkan di pasaran tempatan.

Jumlah rampasan tersebut dianggarkan berpotensi untuk diedarkan kepada hampir 50,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

Rampasan melibatkan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM530,000, antaranya lebih 7kg syabu, 2kg ketamin dan 2kg pil Erimin 5.

Polis turut menyita harta sindiket bernilai RM7.99 juta, termasuk wang tunai berjumlah RM5.15 juta, empat keping jongkong emas, dua utas rantai emas, tiga utas jam tangan mewah jenama Rolex serta tiga buah kenderaan mewah.

Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE