RANTAU PANJANG, 16 Jun- Cubaan menyeludup lebih 14 kilogram (kg) bunga ganja yang dianggarkan bernilai RM1.44 juta digagalkan.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan dibuat hasil maklumat awam dan tindakan pantas Unit Narkotik Zon Timur Rantau Panjang sekitar pukul 9.15 malam.
"Pasukan menemukan sebuah beg ditinggalkan di Pintu 1, Zon Bebas, yang mengandungi 10 paket plastik lut sinar dipercayai berisi bunga ganja.
"Pemeriksaan terhadap seorang lelaki warga negara jiran yang membawa beg di lokasi sama, turut menemukan tambahan 15 paket ganja yang disembunyikan dalam beg tersebut," katanya menerusi satu kenyataan.
Suspek dan barang rampasan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.
Menurut Wan Jamal, modus operandi yang dikesan ialah penyeludupan dadah melalui pangkalan haram di Sungai Golok, sebelum dibawa masuk ke Zon Bebas Rantau Panjang untuk diedarkan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.