fb fb fb fb fb

6 pusat hiburan berkonsepkan 'Bollywood' diserbu

36 wanita warga Bangladesh dan Nepal yang bertugas sebagai penari turut diperiksa

KUALA LUMPUR, 15 Jun - Sebuah pusat hiburan berkonsepkan 'Bollywood' yang beroperasi di sebuah bangunan di Jalan Munshi Abdullah, di sini diserbu polis dalam Op Noda awal pagi tadi.

Operasi dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, berjaya menahan lapan warga asing berusia antara 20 hingga 40 tahun atas pelbagai kesalahan imigresen.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam kenyataan memaklumkan, operasi dijalankan bermula pukul 2 pagi itu melibatkan enam premis berasingan.

 

Sebahagian penari wanita warga asing yang diperiksa

Menurutnya, kesemua enam pusat hiburan yang diserbu itu menjalankan operasi sekitar 5 petang atau 9 malam sehingga 5 pagi setiap hari.

Beliau berkata, seramai 36 wanita diperiksa dalam operasi tersebut, terdiri daripada 31 warga Bangladesh dan lima warga Nepal yang bertugas sebagai penari di premis berkenaan.

Turut diperiksa, 38 pelanggan warga tempatan dan asing termasuk dari Bangladesh, Nepal, Pakistan dan India.

"Siasatan mendapati, pelanggan kebanyakannya terdiri daripada warga India dan Bangladesh.

"Purata pendapatan bagi setiap pekerja dianggarkan RM1,800 ke RM2,000 sebulan,” katanya.

 

Purata pendapatan penari RM1,800 hingga RM2,000 sebulan

Menurutnya, semakan mendapati kesemua pusat hiburan terbabit mempunyai lesen yang sah.

Semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK