fb fb fb fb fb

Pusat karaoke haram diserbu, 35 warga Myanmar ditahan

Foto Fail

SUNGAI PETANI, 15 Jun- 35 warga Myanmar berjaya diberkas dalam serbuan di beberapa pusat hiburan, kedai makan dan kedai runcit warga asing di Sungai Petani, Kedah pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima maklumat berhubung wujud satu lokasi di barisan rumah kedai, yang dijadikan sebagai kawasan hiburan warga asing.

Rentetan itu, serbuan dilakukan di tiga premis warga asing yang terletak di Jalan Kampung Baru, Taman Petani Jaya, Sungai Petani.

Premis-premis terlibat termasuk restoran yang beroperasi tanpa lesen serta menggaji pekerja asing tanpa permit, dan kedai runcit yang turut menjual barangan tanpa lesen serta menggunakan khidmat pekerja tanpa permit.

Turut diserbu, pusat karaoke tanpa lesen yang menyediakan perempuan warga asing.

Hasil serbuan, pihaknya menahan 15 lelaki dan 20 wanita warga Myanmar berusia lingkungan 28 hingga 32 tahun.

Turut ditahan, seorang wanita warga tempatan yang merupakan majikan di sebuah kedai runcit yang diserbu.

Kesemua yang ditahan disiasat bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam, Seksyen 55 B (3) Akta Imigresen, Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHDTTH) 1997.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM