KOTA BHARU, 15 Jun - Seorang ahli majlis sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, atas tuduhan merogol seorang wanita berusia 29 tahun, bulan lalu.
Pengakuan itu Muhammad Jaya Murugan Abdullah,47 selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, perbuatan tersebut dilakukan di sebuah kedai dobi di Kuala Krai, kira-kira pukul 2.00 petang, pada 29 Mei lalu.
Pertuduhan itu didakwa bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga disebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Ariff Azami Hussein.
Dalam prosiding, Kamarul Hasyime mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM30,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri sekali dalam tempoh dua bulan di balai polis terdekat, termasuk tidak mengganggu mangsa.
Bagaimanapun peguam tertuduh, Ariff Azami memohon mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 kerana tugasnya sebagai Ketua Komuniti India dan mempunyai 12 anak dalam jagaannya, termasuk anak tiri.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua orang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan 15 Julai depan.