KOTA BHARU, 16 Jun- Seorang Jurutera Kanan Awam Unit Projek Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini atas 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM100,000 bermula dari 22 Disember 2022 hingga 31 Oktober 2023.
Tertuduh, Muhamad Azly Abdul Aziz, 44 tahun membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Berdasarkan pertuduhan yang dibaca, tertuduh didakwa menerima suatu suapan, iaitu wang tunai di antara RM5,000 hingga RM10,000 dengan jumlah keseluruhan RM100,000 daripada Mohd Solehin Abdullah, 70 tahun secara pemindahan dalam talian melalui akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik Afiq Aziz Enterprise.
Bayaran itu dibuat sebagai upah mengesyorkan perakuan tuntutan bayaran interim bagi projek Lingkaran Tengah Utama melibatkan Pakej 3 dari Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang; Seksyen 3D dari Bulatan Gua Musang ke Mentara serta Seksyen 3B dan 3C dari KM180.5 FT08 ke Bulatan Gua Musang.
Tertuduh didakwa menerima 14 transaksi pindahan dalam talian ke akaun milik sebuah syarikat yang dibuat di sebuah bank di Jalan Maju, Kota Bharu antara 22 Disember 2022 hingga 31 Oktober 2023.
Tertuduh didakwa bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob manakala tertuduh diwakili peguam Azeezi Nordin.
Dalam perbicaraan, pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM20,000 bagaimanapun peguam tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM8,000 kerana tertuduh masih bercuti tanpa gaji.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.