KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion, di sebuah pertubuhan di bawah kawalan kementerian.
Siasatan melibatkan beberapa siri serbuan yang dijalankan oleh SPRM dalam tempoh dua hari di sekitar Kuala Lumpur, termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian, dan sembilan syarikat yang terlibat dalam projek berkaitan.
Menurut sumber, projek tersebut telah dianugerahkan kepada pertubuhan terbabit bagi tempoh 30 bulan bermula dari 2021 hingga 2023, berperanan menghasilkan dan mengedarkan baja padi kepada pesawah di seluruh negara melalui pejabat pertubuhan di peringkat negeri.
Hasil siasatan mendapati pertubuhan tersebut telah menggunakan dua kaedah untuk memenuhi kontrak kerajaan iaitu dengan membeli baja padi terus daripada lima syarikat pengeluar dan membeli bahan mentah untuk memproses baja daripada empat syarikat.
Siasatan SPRM menjurus kepada kesalahan rasuah dalam perolehan baja atau bahan mentah daripada syarikat-syarikat terpilih, serta kemungkinan salahguna kuasa yang mungkin berlaku di kalangan ahli lembaga pengarah yang terlibat dalam pemilihan syarikat berkepentingan.
Dokumen-dokumen berkaitan projek tersebut telah dirampas di peringkat kementerian, pertubuhan, dan syarikat berkaitan, dan enam pegawai kementerian serta pertubuhan yang terlibat telah dipanggil untuk ditemubual.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan itu dan tidak menolak akan ada penahanan terhadap beberapa individu yang disyaki terlibat untuk membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16, Seksyen 18, dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.