fb fb fb fb fb

Sindiket dadah jenis syabu bernilai RM640,000 tumpas

Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM640,000 / Foto Hiasan

GEORGETOWN, 29 Oktober – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM640,000 menerusi Operasi Terancang yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Serbuan yang dilakukan di kawasan parkir kereta di Butterworth itu membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad memaklumkan pihaknya turut menemui sebuah beg kain berwarna biru berisi bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 1,036 gram.

“Susulan tangkapan tersebut, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai ahli sindiket di sebuah rumah di kawasan Bukit Mertajam,” katanya dalam satu kenyataan.

Tangkapan suspek kedua membawa kepada penemuan dadah di Butterworth, iaitu sebuah kotak kertas berwarna coklat yang berisi 12 bungkusan plastik hijau mengandungi hablur disyaki syabu seberat kira-kira 12,643 gram.

Turut ditemui adalah satu bungkusan plastik berzip yang mengandungi enam bungkusan plastik hijau berisi syabu seberat kira-kira 6,321 gram, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan syabu sekitar 20 kilogram.

Hasil siasatan mendapati sindiket tersebut aktif sejak awal Oktober dan melibatkan suspek berusia antara 25 hingga 39 tahun, yang turut memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Bagaimanapun, ujian saringan air kencing kesemua suspek didapati negatif.

Dalam operasi tersebut, polis turut menyita sebuah kenderaan mewah bernilai RM48,000 serta barang kemas bernilai RM17,686, menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM705,686.

Kesemua suspek kini direman selama enam hari sehingga 3 November bagi membantu siasatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN