fb fb fb fb fb

Kronologi 1MDB: Adakah Najib perlu bela diri atau bebas esok?

Nasib bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan diketahui esok

KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Nasib bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan diketahui esok sama ada beliau perlu membela diri atau dibebaskan terhadap 25 pertuduhan penyelewengan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang juga bekas menteri kewangan didakwa atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan empat pertuduhan salah guna kuasa yang berjumlah RM2.3 bilion.

Najib telah melalui perjalanan undang-undang yang panjang selama enam tahun setengah bagi kes 1MDB.

Berikut kronologi berkaitan 1MDB termasuk pendakwaan dan proses perbicaraan Najib Razak.

2015 - Skandal 1MDB mula terdedah secara global apabila sejumlah besar wang yang dikaitkan dengan dana 1MDB didakwa diseleweng.

3 Julai 2018 - Najib Razak ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan skandal 1MDB. Pada hari yang sama, beliau dikenakan beberapa pertuduhan awal melibatkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan SRC International, anak syarikat 1MDB.

20 September 2018 - Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan 25 pertuduhan tambahan berkaitan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Datuk Seri Gopal Sri Ram dilantik sebagai ketua pendakwa raya khas dalam kes ini.

28 Ogos 2019 - Perbicaraan utama 1MDB bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dikenali sebagai “1MDB-Tanore Trial.”

Februari 2020 - Disember 2021
Perbicaraan 1MDB diteruskan dengan keterangan daripada saksi pendakwaan, termasuk bekas CEO 1MDB, pegawai-pegawai bank, dan eksekutif kewangan walaupun perbicaraan ditangguhkan kerana COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

5 Januari 2021 - Perbicaraan bersambung selepas hampir empat bulan ditangguhkan.

25 Ogos 2022 - Najib Razak hadir buat kali pertama di Mahkamah Tinggi setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan sabitan bersalahnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd. Mahkamah Persekutuan, sebelum ini, memutuskan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu, setelah menolak rayuan terakhirnya.

29 Januari 2023 - Datuk Seri Gopal Sri Ram meninggal dunia pada usia 79 tahun.

30 Mei 2024 - Pendakwaan menutup kesnya dalam perbicaraan 1MDB selepas enam tahun, melibatkan 235 hari perbicaraan dan 50 saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan.

24 Oktober 2024 - Najib Razak memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia atas salah laku dalam syarikat 1MDB, namun menegaskan bahawa beliau tidak bersalah dan menyalahkan Jho Low serta eksekutif Petrosaudi. Beliau turut menyatakan penyesalan atas kesilapan yang berlaku di bawah pentadbirannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

30 Oktober 2024 - Adakah Hakim Collin Lawrence Sequerah akan meminta Najib Razak membela diri jika beliau mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie (kes yang cukup kuat) dalam kes rasuah 1MDB?

Keputusan esok akan menentukan sama ada Najib akan menghadapi prosiding pembelaan yang panjang atau bebas daripada 25 pertuduhan​ 1MDB.

GRACE AISYAH KEDAYAN