fb fb fb fb fb

Pegawai syarikat penerbangan didakwa terima suapan RM1,000

Tertuduh, Mohd Razif Hassan, 35 tahun, didakwa menerima suapan berjumlah RM1,000 melalui pindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun miliknya / Foto RTM

SHAH ALAM, 29 Oktober – Seorang pegawai kanan pengurusan fasiliti sebuah syarikat penerbangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Razif Hassan, 35 tahun, didakwa menerima suapan berjumlah RM1,000 melalui pindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun miliknya.

Suapan tersebut didakwa sebagai balasan untuk mempercepatkan urusan syarikat kejuruteraan milik seorang individu lain.

Mohd Razif dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah bank di Bandar Tun Hussein Onn, Hulu Langat pada 9 November tahun lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Mohd Razif boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih sepuluh tahun, atau kedua-duanya sekali.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN