NILAI, 29 Oktober- Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya merampas 105 kilogram (kg) dadah bernilai RM3.3 juta menerusi operasi di gudang sebuah syarikat logistik di Shah Alam, Selangor pada 15 Oktober lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Ribuan Abdullah berkata pemeriksaan terhadap lima buah kotak mengandungi bungkusan teh herba cina mendapati, terdapat bahan kristal jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine (syabu).
Beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan adalah menggunakan khidmat pengendali kurier dari Lembah Klang untuk menghantar bungkusan kotak terbabit ke Sabah melalui laluan udara dengan mengikrarkan syarikat vape sebagai penerima.
"Kemungkinan besar juga bila berada di Sabah dengan kuantiti ini, ada kemungkinan juga untuk di seludup ke negara jiran kita Indonesia. Kita tahu harga bahan dadah jenis Methamphetamine di Indonesia empat kali ganda lebih tinggi daripada harga di Malaysia", katanya kepada pemberita dalam sidang media di kampung Jijan, Nilai.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39 B(1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.