JOHOR BAHRU, 29 Oktober- Tiga individu termasuk suami isteri ditahan bersama 20 bungkusan dadah seberat 22 kilogram bernilai lebih RM700,000 dalam serbuan di Seri Alam di sini.
Operasi bermula 9.30 malam pada 18 Oktober hingga 2.00 pagi keesokan harinya itu dilancarkan oleh Pasukan Tindakan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam selepas seminggu risikan terhadap sindiket berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Penguasa Polis (SP) Mohd Sohaimi Ishak berkata suspek yang ditahan terdiri daripada pemandu kereta lelaki tempatan berusia 40 tahun, seorang lelaki tempatan berumur 58 tahun, dan isterinya, wanita warga asing berusia 48 tahun.
Sindiket itu dipercayai aktif sejak Julai lalu dengan menggunakan kenderaan sebagai tempat menyimpan dadah sebelum ianya diedarkan ke pasaran tempatan.
"Dia bertindak sebagai 'transporter', mengambil barang dari Kuala Lumpur untuk dihantar ke sini. Mereka tinggalkan kereta bersama dadah dan kunci, kemudian pihak lain akan mengambilnya dan kembalikan kereta ke lokasi asal bersama kunci," katanya kepada pemberita pada sidang media di IPD Seri Alam di sini hari ini.
Hasil semakan menunjukkan semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Mereka kini direman 13 hari sehingga Khamis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.