fb fb fb fb fb

20 dikompaun, 23 motosikal disita dalam Op Bunyi Bising

Foto RTM

KULIM, 29 OKTOBER- Sebanyak 23 buah motorsikal disita dalam Operasi Penguatkuasaan Bunyi Bising Motorsikal oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah bersama Polis Kedah.

Daripada jumlah itu, 20 motorsikal gagal ujian bunyi bising yang dijalankan di cawangan Trafik IPD Kulim.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, sebanyak 20 kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM6,000 telah dikeluarkan terhadap pemilik-pemilik motorsikal tersebut di bawah Peraturan 4(2), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987.

Kesemua pemilik kenderaan yang gagal ujian bunyi bising telah diarah menjalankan ujian semula ke atas kenderaan masing-masing selepas diambil tindakan pembetulan.

Beliau berkata, daripada 23 motorsikal yang disita, hanya sebuah motosikal sahaja lulus pemeriksaan.

Manakala dua lagi pemilik gagal hadir sesi ujian dan akan diambil tindakan susulan.

Operasi tersebut akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pematuhan ke atas peraturan-peraturan berkaitan dan seterusnya menjamin kualiti udara yang baik.

Beliau berharap semua pemilik kenderaan dapat memastikan kenderaan masing-masing mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dengan melakukan pemeriksaan secara berkala dan tidak melakukan ubahsuai yang boleh melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

NRES menerusi Jabatan Alam Sekitar komited untuk menangani isu pencemaran alam sekitar dan salah satu punca pencemaran udara terutama di kawasan perbandaran adalah dari kenderaan bermotor.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD