KUALA LUMPUR, 13 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh lucut hak wang lebih RM4 juta dalam akaun BSI Bank, Switzerland berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
SPRM dalam kenyataannya berkata keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Muniandy Kannyappan.
Ia selepas dimaklumkan tiada bantahan atau tuntutan daripada mana-mana pihak dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Jenayah 2, Kuala Lumpur, hari ini.
"Menerusi penghakimannya, Muniandy membenarkan wang dalam akaun perbankan atas nama Derivale Limited milik Azlin Alias selaku pemegang benifisiari dilucutkan kepada kerajaan Malaysia menerusi SPRM.
Lucut hak dibuat di bawah Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Ia juga merupakan kejayaan pertama SPRM melucut hak aset luar negara tanpa melibatkan pendakwaan," katanya.