SHAH ALAM, 13 Jun- Seorang pelakon dan penyanyi lelaki yang didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun baru-baru ini akan dituduh di Mahkamah Putrajaya pada Selasa depan (17 Jun).
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, arahan tuduh ke atas suspek telah diperoleh daripada Pejabat Pendakwa Raya Selangor hari ini.
Suspek akan dituduh dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.
“Polis Diraja Malaysia komited dalam memastikan keadilan ditegakkan dan siasatan dijalankan dengan teliti bagi melindungi hak mangsa, serta menjamin ketelusan proses perundangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.