fb fb fb fb fb

Dalang sindiket pemerdagangan manusia di Klang, tumpas

Foto Facebook Jabatan Imigresen Malaysia

KLANG, 13 Jun – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket pemerdagangan manusia yang berselindung di sebalik agensi pekerjaan di Klang menerusi serbuan ke atas tiga premis berasingan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JIM, Ismail Mokhtar berkata, operasi hasil risikan selama dua minggu oleh Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

"Operasi berjaya menyelamatkan sembilan mangsa wanita warga Filipina dan menahan sepuluh lagi wanita senegara tanpa dokumen sah, berusia antara 26 hingga 43 tahun. Turut ditahan, seorang wanita tempatan dipercayai dalang utama serta dua penjaga premis warga Filipina," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut beliau, premis berkenaan digunakan sebagai lokasi penahanan dan eksploitasi mangsa sebagai pembantu rumah.

Mangsa dipaksa bekerja secara separuh masa kepada beberapa majikan dengan bayaran antara RM70 hingga RM120 sehari, namun gaji diserahkan sepenuhnya kepada agensi tanpa persetujuan mereka.

"Modus operandi sindiket termasuk menahan pasport mangsa, menyekat komunikasi dan mengenakan kawalan ketat," tambah Ismail.

Imigresen menyita dokumen penting termasuk pasport, telefon bimbit dan satu premis.

Kes disiasat mengikut Akta ATIPSOM 2007 (Akta 670).

Jika sabit kesalahan, hukuman penjara hingga 30 tahun atau seumur hidup serta sebatan boleh dikenakan.

JIM menyeru orang awam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran melalui talian 03-8880 1471 atau e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI