SEREMBAN, 14 Jun - Seorang pengurus jualan di sebuah kilang swasta mengalami kerugian RM389,000, selepas terperdaya dengan skim pelaburan saham menerusi media sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim dalam kenyataan berkata, mangsa berusia lewat 40-an telah berurusan dengan individu yang menawarkan skim pelaburan berkenaan pada 19 April lepas.
"Dia yang berminat dengan skim berkenaan kemudian memindahkan wang ke dalam enam akaun yang diberikan individu itu menerusi sembilan transaksi, dengan keseluruhan berjumlah RM389,000 untuk pelaburan terbabit.
“Mangsa menyedari telah ditipu selepas aplikasi yang dimuat turun tidak dapat diakses olehnya, selain tidak dapat mengeluarkan keuntungan seperti yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis pada 2.50 petang tadi,” katanya.
Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Abdul Malik menasihatkan orang awam supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum menyertai apa-apa pelaburan dan tidak memberikan maklumat bank kepada individu tidak dikenali.