KUALA LUMPUR, 20 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun perbankan persendirian dan syarikat bernilai kira-kira RM218 juta, susulan serbuan terhadap sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut.
Serbuan dilaksana menerusi Op Sikaro, diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di 14 lokasi sekitar Lembah Klang dan Johor, semalam.
Operasi menyasarkan premis perniagaan serta pemilik syarikat yang dipercayai menjalankan kegiatan penyeludupan sejak tahun 2020, sehingga menyebabkan kerajaan menanggung kerugian hasil cukai lebih RM250 juta.
Selain pembekuan akaun oelh SPRM, JKDM turut menggantung lesen import beberapa syarikat terlibat. Siasatan turut meneliti penglibatan pegawai agensi penguat kuasa serta mengesan aset lain melalui aktiviti pengubahan wang haram.
Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan serbuan berkenaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Beliau menegaskan SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara.