PUTRAJAYA, 20 Ogos - Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun susulan terbongkarnya satu kumpulan 'Geng Budak Sekolah', yang menjual bahan lucah menerusi platform WhatsApp.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan dikendalikan Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak) itu, perlu dilaksanakan dengan cermat dan berhati-hati.
"Cara urus kes kanak-kanak ini ada kaedahnya. Gambar tidak boleh disiar, nama tidak boleh disebut dan segala macam.
"Oleh kerana siasatan sedang dijalankan oleh D11 melibatkan kanak-kanak, berusia 12 tahun, perempuan pula tu. Sudah tentulah pihak polis kena buat dengan cermat dan nak dapatkan keterangan kanak-kanak bukan pakai (prosedur biasa) tetapi kita ada pakar psikiatri," jelas beliau.
Beliau ditemui pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini.
Tambah Datuk Seri Saifuddin, siasatan lanjut turut merangkumi kemungkinan kewujudan dalang di sebalik kegiatan jenayah seksual membabitkan kanak-kanak tersebut.
"Kita belum 'establish' lagi yang itu (dalang). Ada dorongan untuk mendapatkan itu sebagai sumber pendapatan tetapi marketing hanya dalam group sahaja. Very secretive," katanya lagi.
Selain itu, beliau turut mengaitkan kes berkenaan dengan kes 'swinger' yang pernah dibongkar polis sebelum ini.
"Modus operandinya hampir sama. ketika swinger merupakan perbuatan bertukar pasangan secara sukarela dengan tujuan untuk melakukan hubungan seksual. Tetapi ada juga elemen fee dikenakan sebelum masuk menyertainya. itu pun kami melalui proses pengintipan yang panjang," ujar beliau.