KOTA BHARU, 20 Ogos -Mahkamah Majistret Pasir Mas mengeluarkan perintah tahanan reman enam hari bermula hari ini terhadap enam pelajar lelaki tingkatan empat sebuah sekolah menengah di daerah itu bagi membantu siasatan kes buli terhadap seorang pelajar sekolah sama.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Kama Azural Mohamed dalam kenyataan berkata, kesemua suspek berusia 16 tahun itu ditahan semalam.
Beliau berkata pengadu mendakwa ditumbuk dan disiku di bahagian kepala serta ditendang di punggung oleh lima pelajar lelaki. Kejadian berlaku pada 12.45 tengah hari pada Isnin lepas.
"Seorang daripada suspek turut bertindak melondehkan seluar sukan yang dipakai pengadu sehingga paras lutut," katanya.
Beliau berkata akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan di bahagian kepala serta trauma untuk ke sekolah kerana sering diganggu oleh suspek yang sama berulang kali.
“Mangsa memaklumkan perkara itu kepada ibu bapanya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Mas dan hasil siasatan awal mendapati semua suspek mengaku terlibat membuli mangsa.
Kama Azural berkata kes disiasat bawah Seksyen 323/507B Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.