KUALA TERENGGANU, 8 April - Seorang pengusaha premis pemborong didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan 2.21 tan minyak masak peket bersubsidi di premis perniagaannya tahun lalu.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Abu Bakar Abdul Rahman, 42, selepas beliau mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, Abu Bakar didakwa menyembunyikan 2,210 kilogram minyak masak peket di premis miliknya yang terletak di Kampung Rhu Muda, Marang kira-kira pukul 1.38 tengah hari, 31 Januari 2024.
Menurut fakta kes, ketika diserbu oleh sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Abu Bakar hanya menunjukkan sembilan kotak minyak masak yang telah rosak.
Namun, hasil pemeriksaan lanjut di stor premis mendapati terdapat 130 kotak tambahan yang mengandungi keseluruhan 2.21 tan minyak masak peket yang tidak diisytiharkan.
Tindakan tersebut disifatkan sebagai cubaan menyorok barang kawalan daripada dijual, sekali gus menjejaskan bekalan untuk pengguna.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.