SHAH ALAM, 2 Disember -Polis menumpaskan sindiket pembungkusan vape dicampur dadah selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah premis di Klang pada 27 November lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan kira-kira pukul 2 petang itu dilakukan di sebuah stor yang dijadikan tempat penyimpanan dan pembungkusan bahan terlarang.
"Polis merampas 2,068 kartrij, 550 pod, dan 240 botol cecair vape mengandungi campuran ketamin dengan anggaran 61 liter, bernilai RM3.04 juta, dipercayai untuk pasaran tempatan," katanya dalam sidang media di sini.
Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif sejak enam bulan lalu.
Kumpulan itu mendapatkan produk secara dalam talian sebelum menjualnya secara terbuka kepada pembeli.
“Ketiga-tiga suspek berusia 33 hingga 49 tahun bekerja dengan sindiket sebagai penjual, penjaga stor dan pembungkus.
Seorang adalah duda, seorang telah berkeluarga dan seorang lagi bujang,” katanya.
Semua suspek didapati negatif dadah, namun seorang mempunyai tiga rekod jenayah.
Polis turut menyita tiga kereta dan lima barangan kemas dianggarkan bernilai RM134,800.
Ketiga-tiga lelaki itu direman sehingga 6 Disember untuk siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.