PUTRAJAYA, 2 Disember - 17 warga asing ditahan dalam serbuan Operasi Penguatkuasaan di sebuah rumah kedai tiga tingkat yang dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran di kawasan Klang Sentral, Selangor malam tadi.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata dalam serbuan oleh 14 pegawai pelbagai pangkat yang dilakukan berdasarkan aduan awam dan risikan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen itu, sebanyak 21 individu termasuk seorang lelaki dan dua kanak-kanak lelaki tempatan diperiksa.
"Hasilnya, sebanyak lapan lelaki warga Bangladesh dan sembilan perempuan warga Vietnam berumur antara 21 hingga 32 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen antaranya tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan.
"Antara kesalahan yang dikenalpasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah."
Kesemua yang ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Per.39(b) Peraturan Imigresen 1963.
Selain turut mengeluarkan satu saman kepada saksi (Borang 29) terhadap salah seorang pelanggan di lokasi tersebut.
"Modus operandi kegiatan tidak bermoral tersebut adalah dengan menyediakan tempat penginapan bagi wanita warganegara asing ini menjalankan aktiviti mereka dengan berselindung di sebalik nama syarikat pengurusan hartanah dan import eksport seperti yang dipamerkan menerusi papan tanda di luar bangunan tiga tingkat tersebut."
Tambah beliau, sarang pelacuran berkenaan dipercayai diuruskan oleh seorang lelaki warganegara Bangladesh yang bertindak sebagai “kapten” atau penjaga premis.
Sasaran aktiviti itu adalah warga asing yang berada di kawasan berhampiran lokasi tersebut.
Kesemua warga asing tersebut ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.