GEORGE TOWN, 2 Disember - Seorang saintis berusia 26 tahun rugi hampir setengah juta ringgit selepas diperdaya menerusi kes penipuan pelaburan dalam talian.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa mengenali suspek melalui aplikasi Xion Hong Shu sejak September lalu.
Kemudiannya mangsa ditawarkan menyertai pelaburan bernama Digital Realty, melibatkan dagangan mata wang asing (FOREX) dengan yang menjanjikan keuntungan tinggi.
"Pembayaran pertama sebanyak RM4,500 dibuat ke dalam akaun Hong Leong Bank atas nama individu.
"Pada hari yang sama, mangsa terus mendapat keuntungan sebanyak RM4,754 dan berjaya ditunaikan," katanya dalam kenyataan.
Mangsa yang mula yakin terhadap pelaburan itu kemudiannya telah menambah wang pelaburan sebanyak RM466,000 menerusi 13 transaksi ke dalam 7 akaun berbeza bermula 6 Oktober hingga 17 November.
Mangsa kemudian menyedari terpedaya selepas tidak dapat mengeluarkan keuntungan yang diperolehi dalam aplikasi tersebut. Malah diminta membuat bayaran tambahan untuk tujuan pengeluaran keuntungan.
Mangsa yang curiga kemudian membuat laporan polis pada 1 Disember di IPD Barat Daya. Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan penipuan.