fb fb fb fb fb

Sindiket penipuan dalam talian tumpas

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar/RTM

SHAH ALAM, 2 Disember - Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan cabutan bertuah dan pelaburan forex menerusi serbuan di dua buah rumah teres tiga tingkat yang dijadikan pusat panggilan di Sunsuria City, Sepang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata dalam serbuan pertama, polis menahan 14 warga asing terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita berusia antara 25 hingga 37 tahun.‎‎

Manakala serbuan kedua pula, tujuh lelaki dan tiga wanita warga asing berusia antara 21 hingga 35 tahun ditahan.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi sejak Oktober 2025 dengan menjalankan penipuan cabutan bertuah secara dalam talian, menyasarkan warga China sebagai mangsa. Sindiket ini menggunakan aplikasi QQ," katanya pada sidang media di sini.

Aplikasi tersebut bertindak sebagai platform e-iklan bagi mendorong mangsa membeli nombor bertuah yang menjanjikan hadiah wang tunai sedangkan ia tidak wujud.

Bagi penipuan forex, suspek mencari mangsa melalui aplikasi 'Tonghuasun' dan berurusan melalui Telegram, menjanjikan pulangan tinggi meskipun pelaburan itu tidak wujud.

“Jumlah rampasan bagi kedua-dua kes adalah sebanyak RM60,000 melibatkan barangan antaranya komputer riba, telefon bimbit serta router,” katanya.

Kesemua individu berkenaan kini direman seminggu hingga Rabu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

WAN ROSMA BT RAMLI