fb fb fb fb fb

Sindiket seludup dan edar dadah tumpas, dua lelaki diberkas

Foto Polis

KEPALA BATAS, 18 Mac - Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah selepas merampas ganja yang bernilai hampir RM500,000.

Pemangku Pengarah  Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, dua lelaki yang dipercayai terlibat dengan kegiatan itu turut diberkas.

Katanya, tangkapan dilakukan secara berasingan di Plaza Tol Sungai Dua dan Plaza Tol Juru. Hasil pemeriksaan terhadap dua buah kereta yang dipandu mereka, polis merampas 146.5 kg dadah disyaki ganja dan lebih 1kg bunga ganja.

Turut ditemui sepucuk pistol, dua kelopak peluru kosong dan tiga pasang gari.Hasil siasatan mendapati sindiket dipercayai aktif dengan kegiatan terbabit sejak awal tahun ini.

"Modus operandi; menggunakan kenderaan sewa bagi membawa dadah yang disyaki diseludup dari negara jiran ke kawasan utara dan Lembah Klang.

"Mereka menyewa kenderaan-kenderaan untuk dijadikan sebagai pengankutan membawa dadah dadah ini mereka menggunakan dua buah kenderaan bertunda sebagai satu kenderaan sebagai sweeper kepada kenderaan yang membawa bekalan dadah ini," kata Mat Zani.

Turut disita sebuah kereta , sejumlah wang tunai dan barangan kemas yang dirampas dengan anggaran nilai sitaan lebih RM116,000.

Kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 46 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau. Salah seorang daripadanya turut didapati positif dadah.

Mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

TETITIA YUSOFF