fb fb fb fb fb

Polis rujuk kertas siasatan insiden tampar di Johor Bahru kepada Timbalan Pendakwa Raya

Ketua Polis Johor Datuk M.Kumar

ISKANDAR PUTERI, 18 Mac - Kertas siasatan berhubung insiden seorang warga emas menampar pemuda bukan muslim ketika sedang makan di sebuah pusat beli belah di Johor Bahru akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum Jumaat ini.

Ketua Polis Johor Datuk M.Kumar berkata, warga emas berumur 65 tahun itu telah dipanggil bagi memberi keterangan, semalam. Beberapa saksi termasuk anak kepada warga emas itu juga telah diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan.

"Keterangan mangsa telah dirakamkan , mangsa telah dihantar ke hospital untuk rawatan atau pemeriksaan perubatan dan kenyataan suspek dan saksi-saksi juga telah dirakamkan.

"Kita percaya kita akan merujuk kertas siasatan kepada yang arif Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat, saya rasa sebelum Jumaat ini dan saya juga telah arahkan rakam percakapan doktor sebelum kertas siasatan dirujuk," kata M.Kumar pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor.

Semalam, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahinder Singh memaklumkan, pemuda itu membuat laporan berhubung kejadian itu, pada pukul 9.00 malam kelmarin.

Mangsa mendakwa ditampar dua kali pada pipi kanan oleh seorang lelaki tidak dikenalinya, insiden itu menjadi tular selepas video pertengkaran dua lelaki itu dimuatnaik di laman X, kelmarin.

TETITIA YUSOFF