SHAH ALAM, 15 Mac – Sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi berjaya ditumpaskan dalam serbuan di sebuah premis haram di Jalan Kampung Jawa, di sini, Jumaat lalu.
Ia dibongkar pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya dengan menahan empat lelaki termasuk seorang warga asing bagi membantu siasatan.
Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 25 hingga 45 tahun dan dipercayai merupakan pekerja di stor haram tersebut.
"Hasil risikan mendapati premis ini telah beroperasi sejak dua bulan lalu dan dijadikan tempat pemindahan LPG bersubsidi ke dalam tong 50 kilogram untuk kegunaan industri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jumlah keseluruhan rampasan, termasuk pelbagai barangan sitaan dan tiga lori, dianggarkan mencecah RM200,000.
Beliau berkata, serbuan yang dilakukan sekitar pukul 7.00 petang itu adalah hasil risikan selama tiga minggu dan berjaya merampas 608 tong LPG seberat 5,864 kilogram dengan anggaran nilai RM14,000.
Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.