fb fb fb fb fb

Sindiket proses, edar dadah tumpas, sasar pasaran Malaysia, negara jiran

Antara dadah yang dirampas menerusi serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama Polis Kontinjen Johor

ISKANDAR PUTERI, 8 April- Sepasang kekasih warga tempatan ditahan selepas disyaki terlibat sindiket memproses dan mengedar dadah bernilai RM14.3 juta, yang menyasarkan pasaran Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali mendedahkan sindiket dipercayai aktif sejak September tahun lepas dan menjadikan pangsapuri sebagai stor penyimpanan dan makmal mini untuk memproses dadah.

Serbuan di sebuah pangsapuri dan sebuah kenderaan, berjaya menemui sebanyak 121 kilogram pelbagai jenis dadah dan peralatan memproses dadah.  

"Kita juga percaya sindiket ini mula aktif menjalankan operasi sejak September tahun 2024, kita telah membuat ujian saringan ke atas suspek, salah seorang iaitu pemandu. Suspek utama positif methaphetamin. Kita percaya masih ada saki baki sindiket", katanya dalam sidang media di sini.

Katanya, suspek lelaki terbabit baru sahaja dibebaskan dari Penjara Singapura Februari tahun lalu atas kesalahan dadah, dipercayai aktif semula pada September tahun sama.  

Kedua-dua suspek dipercayai mendapat upah antara lapan RM8,000 sehingga RM10,000 bagi setiap pesanan dadah dan polis masih mengesan dalang utama rangkaian sindiket terbabit. 

Kedua-dua suspek telah dituduh pada 4 April lalu di Mahkamah Johor Bahru bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

ROSLINA BINTI DIN