fb fb fb fb fb

Pemilik restoran mengaku salah guna logo halal tidak sah

Orang Kena Saman (OKS), Lim Beng Hee (kanan), membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Zulkifli Abllah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya / Foto RTM

KOTA BHARU, 8 April – Seorang pemilik restoran mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan mempamerkan logo halal tidak sah di premisnya di Jalan Temengong, Kota Bharu, pada November tahun lalu.

Orang Kena Saman (OKS), Lim Beng Hee, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Zulkifli Abllah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mengikut pertuduhan, Lim didakwa memerihalkan makanan sebagai halal tanpa sebarang kebenaran atau perakuan sah daripada pihak berkuasa di restorannya pada pukul 12.46 tengah hari, 18 November 2023.

Tindakan itu melanggar Perintah 4(1)(a) & (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, yang merupakan kesalahan mengikut Perintah 8(b) perintah sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammadi Iman Masjuri, mengendalikan pendakwaan, manakala OKS tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Namun, tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan tidak mempunyai wang mencukupi.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyampaian fakta dan hukuman.

Terdahulu, media melaporkan sebuah restoran yang beroperasi lebih 50 tahun dikenakan tindakan oleh pihak KPDN selepas didapati menggunakan logo halal tidak sah.

Semakan mendapati premis tersebut pernah memohon sijil halal pada 2021 namun permohonannya tidak diluluskan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN