fb fb fb fb fb

Sindiket penipuan tipu pegawai kerajaan RM168,000

Foto hiasan

IPOH, 10 Februari- Seorang pegawai wanita di sebuah agensi kerajaan kerugian RM168,000 akibat ditipu sindiket penipuan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan dalam kenyataan berkata, panggilan diterima menerusi telefon menyamarkan diri sebagai Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).

Mangsa berusia 45 tahun dan berasal dari Taman Tawas Gemilang di sini menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada 5 Januari lepas.

Suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai farmasi daripada KKM mendakwa mangsa telah mengambil beberapa ubat terkawal daripada Hospital Georgetown, Pulau Pinang.

"Mangsa menafikan perkara tersebut dan telah diminta oleh suspek untuk membuat laporan polis.

"Mangsa kononnya disambungkan kepada "pegawai polis" dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan dimaklumkan mempunyai rekod terlibat dengan kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun seorang lagi suspek menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman menghubungi mangsa dan mengarahkan pengeluaran berjumlah RM168,000 daripada akaun simpanannya untuk dimasukkan ke dalam lima akaun berbeza.

Suspek turut memberinya sepucuk surat bertulis 'Polis Diraja Malaysia' yang mengandungi butiran kononnya mangsa disyaki terlibat dengan kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram serta waran tangkap ke atas mangsa.

Namun mangsa menyedari ditipu dan telah membuat laporan polis semalam. Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI