fb fb fb fb fb

Polis siasat kes kamera tersembunyi di inap desa

Tangkap layar IG PDRM

GEORGE TOWN, 10 Februari- Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita mendakwa diintip menerusi kamera tersembunyi di dalam bilik air ketika menginap di sebuah inap desa di Jelutong, seperti yang tular melalui media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komsioner (ACP) Razlam Ab Hamid dalam kenyataan berkata, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang.

Hasil siasatan awal mendapati pengadu merupakan seorang wanita tempatan berusia 24 tahun telah mendaftar masuk ke inap desa terbabit bersama tiga rakannya pada 5 Februari lepas untuk bercuti.

"Pada 6 Februari kira-kira pukul 8.00 malam, pengadu mendakwa telah terjumpa sebuah kamera yang disembunyikan di dalam bekas pewangi ketika menggunakan tandas di dalam bilik air.

"Pengadu kemudian terus mengeluarkan kamera itu dan membuat aduan mengenai perkara berkenaan kepada pihak pengurusan inap desa sebelum ke Balai Polis Jelutong untuk membuat laporan," katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Razlam, dakwaan berkenaan perkara itu dimuat naik menerusi aplikasi X oleh pemilik akaun "Isu Semasa Viral" semalam dan telah tular sehingga mendapat perhatian masyarakat umum.

Bagaimanapun siasatan sedang dilakukan, namun pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang imej atau kandungan video dalam storan kamera terbabit.

Sehubungan dengan itu, orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes itu sehingga boleh menjejaskan siasatan pihak polis.

Kes disiasat bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI