JOHOR BAHRU, 10 Februari- Dua lagi anggota daripada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, berusia 29 dan 36 tahun kini direman hingga esok.
Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, ia bagi membantu siasatan kes pemerasan melibatkan seorang tukang cuci wanita, Isnin lepas.
"Bagaimanapun, seorang pegawai dan tujuh anggota polis yang ditahan sebelum ini dibebaskan semalam dengan jaminan polis," katanya dalam satu kenyataan.
Seorang pegawai kanan polis berpangkat inspektor dan tujuh pegawai rendah daripada IPD Seri Alam ditahan pada Rabu lepas bagi membantu siasatan kes itu.
Sebelum ini, tular satu laporan berkenaan tangkapan kesemua pegawai polis itu menerusi aplikasi Telegram, yang menyatakan seorang tukang cuci wanita mendakwa seorang anggota polis telah meminta wang sebanyak RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.
Wanita berkenaan kemudian mendakwa hadir di IPD itu untuk menyerahkan wang berjumlah RM35,000 sebelum membuat laporan polis selepas mendapati adiknya masih belum dibebaskan.