KUALA LUMPUR, 21 Februari – Dua bekas penolong pengurus sebuah kedai jam tangan didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan menipu empat individu dalam urusan penjualan jam tangan mewah melibatkan kerugian lebih RM2 juta.
Tertuduh, Miki Oshiro dan Yap Choon Han, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.
Mereka didakwa menipu seorang lelaki warga Singapura berusia 28 tahun dengan menjanjikan penjualan 22 unit jam tangan bernilai RM955,600, sekali gus mendorong mangsa membuat pembayaran ke beberapa akaun bank.
Selain itu, kedua-dua tertuduh juga didakwa menipu seorang wanita berusia 60 tahun dalam urusan pembelian 41 unit jam tangan Rolex, menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM654,000.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh sementara menunggu proses perbicaraan selanjutnya.