KUALA LUMPUR, 21 Februari – Seorang pengarah syarikat pembinaan berusia 74 tahun mengalami kerugian sebanyak RM26.7 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto melalui aplikasi UVKXE.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata laporan mengenai penipuan dalam talian itu diterima pada 20 Februari.
“Mangsa telah menekan pautan yang disertakan dalam iklan dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp ‘12 Gatering Stocks Into Gold’. Dalam kumpulan tersebut, mangsa diajar tentang pelaburan oleh seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Profesor Stanley Lim.
"Terpedaya dengan janji keuntungan lumayan, mangsa memuat turun aplikasi UVKXE bagi memulakan pelaburan,” katanya dalam sidang media, di sini.
Beliau berkata, antara 17 Oktober hingga 24 Disember 2024, mangsa telah membuat sembilan transaksi bernilai RM26 juta ke dalam beberapa akaun syarikat berbeza.
Bagaimanapun, pada Januari 2025, mangsa mendapati akaunnya mencatat keuntungan sebanyak RM1.2 bilion tetapi gagal untuk mengeluarkan wang tersebut. Sebaliknya, dia diarahkan membuat bayaran cukai sebanyak RM5.56 juta sebelum boleh mengakses dana itu.
Sehingga kini, polis telah menerima 46 laporan berkaitan skim penipuan pelaburan UVKXE, membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah RM61.4 juta.
Dalam perkembangan lain, seramai 14 individu termasuk seorang ketua sindiket ditahan dalam serbuan di Persiaran Stonor, dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan pusat panggilan (calling centre).
Ramli berkata, sindiket tersebut menawarkan hadiah berupa gajet dan barangan mewah sebagai umpan kepada mangsa.
“Mereka yang ditahan berusia antara 28 hingga 52 tahun, terdiri daripada 12 warga asing dan dua rakyat tempatan. Antara yang ditahan ialah seorang lelaki warga Turki, tujuh lelaki warga China, empat wanita warga China serta dua lelaki tempatan.
"Mereka dipercayai berperanan sebagai ketua sindiket, penolong ketua, pengurus, pengurus kewangan, pegawai khidmat pelanggan dan pemandu,” katanya.
Jumlah keseluruhan rampasan dalam serbuan itu dianggarkan bernilai RM7 juta.