KUANTAN, 16 Disember - Dua sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan warga China, tumpas menerusi dua operasi berasingan di Bera dan Temerloh.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman ketika berkongsi kejayaan pihaknya berkata, kes pertama hasil kerjasama risikan serta operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Polis Pahang.
"Lapan warga China berusia antara 21 hingga 39 tahun di sebuah hotel dekat Triang, Bera pada 27 November lepas.
"19 telefon bimbit dan dua komputer riba dirampas melibatkan jumlah rampasan kira-kira RM31,500. Kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Temerloh pada 3 Disember lepas dan mengaku tidak bersalah,"katanya.
Sementara itu, bagi kes kedua pula serbuan dibuat di sebuah premis di Puncak Lestari, Mentakab, Temerloh pada 2 Disember lepas.
"Lima individu ditahan termasuk warga asing bersama barang kes iaitu11 telefon bimbit, tujuh komputer riba, dua monitor, satu CPU, satu papan kekunci dan dua modem dengan anggaran nilai keseluruhan RM30,000.
"Kesemua suspek yang tinggal di premis berkenaan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh pada 8 Disember,"katanya.
Serentak perkembangan terkini itu, beliau menasihatkan pemilik premis yang menyewakan premis masing-masing membuat semakan terhadap penyewa terutamanya warga asing memandangkan sindiket penipuan mula menyasarkan kawasan luar bandar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.