KUANTAN, 16 Disember - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang merekodkan 1,068 pertuduhan bagi tempoh Januari hingga November 2025, meningkat berbanding 931 pertuduhan dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata sepanjang tempoh itu, sebanyak 2,969 kertas siasatan komersil dibuka berbanding 2,083 pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, jumlah tangkapan turut menunjukkan peningkatan apabila 1,951 individu ditahan, iaitu naik 21.6 peratus berbanding 1,605 tangkapan pada tahun lalu.
“Daerah Kuantan mencatatkan jumlah laporan dan kes tertinggi. Selain itu, jenis penipuan paling banyak dilaporkan adalah penipuan telekomunikasi melibatkan 1,190 kes, diikuti penipuan e-dagang seperti pembelian barangan tidak wujud sebanyak 576 kes, serta penipuan pelaburan tidak wujud melibatkan 362 kes,” katanya.
Tambah beliau, kebanyakan mangsa penipuan terdiri daripada golongan berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Dari segi kerugian, Datuk Seri Yahaya memaklumkan jumlah kerugian direkodkan turut meningkat tiga peratus, daripada RM87.9 juta pada 2024 kepada RM90.5 juta bagi tahun 2025.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bagi bulan Disember 2025.