fb fb fb fb fb

Koloni Afrika diserbu imigresen dalam operasi di Ibu negara

90 PATI ditahan JIM dalam serbuan di Jalan Klang Lama/Foto JIM

KUALA LUMPUR, 16 Disember - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah kawasan tumpuan warga asing di sekitar Jalan Klang Lama, malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban menerusi kenyataan berkata operasi pada pukul 9.40 malam itu disertai 99 orang pegawai Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JIM Putrajaya, dan dijalankan atas hasil aduan awam serta risikan selama dua minggu.

"Dalam operasi berkenaan, seramai 131 individu diperiksa melibatkan 82 lelaki dan 34 wanita warga asing serta 15 warganegara tempatan.

"Hasilnya, seramai 90 individu terdiri warganegara Nigeria, Yemen, Syria, Somalia, Guinea-Bissau, Sierra Leone, Liberia, Mali, Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Vietnam, Thailand, Pakistan, Sri Lanka dan India berumur di antara 21 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen," katanya.

Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah, yang ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Per.39(b) Peraturan Imigresen 1963.

JIM turut mengeluarkan satu saman kepada saksi (Borang 29) terhadap pemilik restoran di lokasi tersebut.

Menurut Datuk Zakaria, modus operandi warga asing terbabit adalah berselindung di sebalik pas tamat tempoh dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan di kawasan terbuka dan premis makanan, selain menjadikan kawasan tersebut lokasi hiburan hingga lewat malam.

"Kesemua PATI ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA bagi siasatan serta tindakan lanjut," katanya.

JIM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang melanggar undang-undang, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menggaji atau melindungi PATI. 

AHMAD ASHRAF BIN AB RAHMAN