BUTTERWORTH, 16 Disember - Dua anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada seorang lelaki, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Irwan Ason, 40, dan Mohd Effendy Mat Desa, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang bertugas di Balai Polis Bukit Mertajam didakwa secara bersama menerima wang rasuah daripada seorang lelaki, Ismail Hashim, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap beberapa kesalahan, termasuk cukai jalan tamat tempoh, pemilikan air ketum dan rokok tidak bercukai.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah bank di Taman Desa Damai, Bukit Mertajam, pada 20 Julai 2023.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noor Azura Zulkifli, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam A. Chandrasegaran.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Januari depan.