fb fb fb fb fb

Sindiket penipuan dalam talian: 25 individu selamat tiba di Malaysia

Foto Hiasan / BERNAMA

PUTRAJAYA, 12 Mac- Seramai 25 lagi warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian di Myawaddy, Myanmar selamat tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, petang tadi.

Menurut Kementerian Luar, kesemua mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

"Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah memudah cara penghantaran pulang mangsa.

"Mereka merupakan sebahagian daripada warga asing yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar dalam operasi pembanterasan sindiket penipuan dalam talian di kawasan Myawaddy,” menurut Kementerian Luar.

Kedutaan Besar Malaysia di Yangon telah melakukan lawatan konsular ke Myawaddy di Wilayah Kayin, Myanmar bagi mengesahkan identiti rakyat Malaysia sebelum mereka diserahkan kepada pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.

Pegawai-pegawai itu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand di Mae Sot, Wilayah Tak, Thailand, untuk menguruskan kepulangan mereka melalui jalan darat.

"Bantuan konsular menyeluruh telah diberikan oleh kedua-dua Kedutaan Besar Malaysia, termasuk menghubungi waris, mengeluarkan dokumen perjalanan sementara, mengatur pengangkutan, menyediakan barangan keperluan asas seperti makanan dan pelitup muka, serta mengiringi mangsa sepanjang perjalanan mereka dari Mae Sot ke Bukit Kayu Hitam, Kedah.

"Proses penghantaran pulang ini adalah kesinambungan kepada operasi serupa yang sebelum ini dilakukan pada 24 Februari 2025, apabila Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah memudah cara kepulangan 15 rakyat Malaysia.

"Kejayaan proses penghantaran pulang itu turut disumbang oleh kerjasama erat Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM, Jabatan Imigresen, dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa di Myanmar atas bantuan mereka dalam menerima dan mempercepatkan proses penghantaran pulang 25 warganegara Malaysia itu.

Kementerian berkenaan juga komited dalam memastikan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara dan melalui perwakilan diplomatiknya, akan terus memberikan bantuan konsular apabila diperlukan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM