fb fb fb fb fb

Sindiket pelekat imigresen palsu tumpas, dalang warga asing ditahan

Foto Jabatan Imigresen Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Jun- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket meminda dan mencetak pelekat palsu imigresen untuk dijual kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi khas dengan penahanan seorang lelaki warga Pakistan dan dua wanita tempatan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi tersebut dijalankan di dua lokasi serentak sekitar Jalan Ipoh di ibu negara.

"Berdasarkan aduan dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi membuat pemeriksaan terhadap seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan yang sedang berurusan di premis berkenaan"

"Kita juga berjaya menahan seorang lelaki warga Pakistan yang dikenal pasti sebagai dalang utama sindiket berkenaan," menurut kenyataan itu.

Semakan awal mendapati lelaki tersebut tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini.

Pemeriksaan ke atas premis itu turut menemukan 13 pelekat palsu membabitkan pelbagai visa antaranya dari Bangladesh, India, Amerika Syarikat, Indonesia dan Pakistan.

"Modus operandi sindiket adalah meminda dan mencetak pelekat palsu imigresen untuk dijual kepada PATI yang berada di dalam negara.

"Pelekat tersebut akan dijual denga harga sekitar RM100 ke RM120 sekeping mengikut negara yang dicetak" katanya lagi.

Kesemua yang ditahan disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Lelaki warga asing terbabit kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya manakala dua warga tempatan diberikan notis untuk hadir membantu siasatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI