AYER KEROH, 18 Jun - Seorang remaja 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas pertuduhan membunuh ibu dan abang kandung serta mencederakan adik bongsunya menggunakan pisau lipat, minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani kerana kes bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian manakala tertuduh diwakili peguam Cassian Anthony Francis Augustine Sosay Dan E Lee Thian.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua pelajar Tingkatan Lima itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian ibunya yang berusia 51 tahun dan abangnya, 21 tahun di sebuah rumah di Taman Rambai Mutiara pada 12 Jun lalu, antara pukul 5.00 pagi hingga 5.30 pagi.
Suspek dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan minimum 12 kali sebatan.
Bagi pertuduhan ketiga, suspek didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap adik lelakinya berusia 13 tahun menggunakan sebilah pisau lipat pada tarikh, masa dan di tempat sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Peguam, Cassian Anthony ketika ditemui di luar kamar memberitahu bahawa difahamkan anak guamnya mengalami masalah mental.
Mahkamah menetapkan 24 Julai depan untuk sebutan semula kes selepas Timbalan Pendakwa Raya memohon tarikh baharu bagi mendapatkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat mangsa.
Pada prosiding berkenaan, tiada waris tertuduh hadir mengikuti perbicaraan.