fb fb fb fb fb

Lelaki tipu ibu tunggal diberkas

Foto fail

JERTIH, 18 Jun - Seorang ibu tunggal, 43 tahun kerugian RM52,000 selepas terpedaya dengan tawaran perniagaan ubat tidak wujud.

Ketua Polis Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu berkata dalam kenyataan berkata, susulan itu seorang lelaki, 40an ditahan dirumahnya di Machang, Kelantan pada 3.20 petang semalam.

"Lelaki itu ditahan selepas mangsa membuat laporan polis, mendakwa dirinya telah ditipu oleh suspek yang dikenalinya melalui aplikasi MiChat pada Mac tahun lepas.

"Dalam tempoh perkenalan itu suspek menawarkan perniagaan ubat berasaskan homeopati menyebabkan mangsa terpedaya lalu membuat dua transaksi wang kepada suspek bermula akhir Mac dan April tahun lepas kononnya untuk pembelian mesin ubat,” katanya.

Beliau berkata kali terakhir mangsa menyerahkan wang tunai RM7,000 kepada suspek ketika mereka bertemu di sebuah stesen minyak di Seberang Jertih di sini pada 13 Jun lepas, apabila suspek menyatakan untuk tujuan pembelian produk dan promosi.

Azamuddin berkata mangsa mula berasa curiga dan meminta suspek menunjukkan bukti resit pembelian barang, namun suspek gagal menunjukkan kepadanya selain memberi pelbagai alasan dan tidak dapat dihubungi.

“Wang yang digunakan mangsa hasil simpanan, pemberian arwah suami dan anak-anak termasuk menggadai barang kemas miliknya,” katanya.

Azamuddin berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Besut hari ini untuk mendapatkan perintah reman dan siasatan dijalankan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

TETITIA YUSOFF