KUCHING, 17 Jun – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun di Sekolah Henry Gurney dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Kuching hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkaitan kemalangan maut yang mengorbankan lima nyawa di Jalan Teo Kui Seng, Januari lalu.
Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Ling Hui Chuan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lima mangsa, mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memandu tanpa lesen kerana masih di bawah umur, mengikut Seksyen 39(1) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadzri Azham Zainudin, memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan peningkatan kes kemalangan melibatkan pemandu bawah umur di Kuching, selain menegaskan bahawa tertuduh tidak menunjukkan rasa penyesalan terhadap perbuatannya.
Menurut fakta kes, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.10 tengah hari, 14 Januari lalu apabila kenderaan dipandu tertuduh hilang kawalan dari arah Jalan Lapangan Terbang ke Jalan Stutong Baru, lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh beberapa kenderaan lain.
Lima mangsa terkorban, termasuk tiga lelaki dan seorang wanita yang maut di tempat kejadian, serta seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.