KUALA LUMPUR, 17 Jun - Suspek kes tembak yang menyebabkan kematian dua lelaki di hadapan lobi pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, tengah malam tadi diburu polis.
Sekumpulan lelaki bertopengkan ski hitam melarikan diri menaiki kenderaan jenis Perodua Alza sejurus selepas melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Yusuf Jan Mohamad, kedua-dua mangsa merupakan warga tempatan berusia lingkungan 40an mati di tempat kejadian.
"Polis menerima laporan berkaitan insiden itu pada pukul 12:48 tengah malam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya menerusi satu kenyataan.
Polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek dan motif kejadian.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi hotline polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, hotline polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau balai polis berdekatan.