KUALA LUMPUR, 18 Jun- Sebanyak lapan stor yang menyimpan barangan tiruan diserbu dalam Operasi Khas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 16 Jun lalu, dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM400,000.
Serbuan dilakukan di sebuah kompleks pemborong berhampiran Jalan Tuanku Abdul Rahman, hasil risikan dan pemantauan berterusan oleh pihak penguat kuasa.
Menurut Pengarah KPDN WPKL, Mohd Sabri Seman, seorang lelaki tempatan berusia awal 20-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati kesemua stor berkenaan baru sahaja memulakan operasi dalam tempoh dua bulan dan dimiliki oleh seorang warganegara. Kita percaya barangan ini diseludup dari luar negara untuk dipasarkan secara borong ke seluruh negara, termasuk ke Sabah dan Sarawak,” katanya.
Turut dirampas dalam operasi itu ialah lebih 14,000 pasang kasut dan selipar berjenama tiruan. Dua bilik pameran tertutup juga ditemui di lokasi, dipercayai digunakan untuk mempamerkan barangan tiruan bagi tujuan tempahan oleh para peniaga.
Kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Mohd Sabri turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penjualan barangan tiruan.
“Peringatan kepada para peniaga, jangan ambil mudah isu barangan tiruan. Individu atau syarikat yang melanggar undang-undang bakal berdepan hukuman berat. KPDN tidak akan berkompromi dan akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara tegas demi menjaga kemakmuran negara,” ujarnya.
Sepanjang tahun ini, sebanyak 64 kes berkaitan pelanggaran harta intelek telah direkodkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan nilai rampasan melebihi RM1.5 juta.