fb fb fb fb fb

3 termasuk 2 penjawat awam ditahan terbabit sindiket pemalsuan ePLKS

FOTO Jabatan Imigresen Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Jun- Sindiket pemalsuan pas kerja yang dipercayai beroperasi sejak hujung tahun lalu akhirnya tumpas apabila tiga warga tempatan termasuk dua penjawat awam diberkas dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lembah Klang, Isnin lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi berkenaan dijalankan di dua lokasi berasingan hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu.

“Pasukan operasi berjaya menahan dua wanita tempatan yang dipercayai dalang utama serta seorang lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan awal turut mendedahkan bahawa dua daripada mereka yang ditahan merupakan penjawat awam. Kesemua suspek berusia antara 40 hingga 43 tahun.

Dalam serbuan itu, pihak JIM turut merampas 101 naskhah pasport pelbagai negara, termasuk 74 dari Sri Lanka, 13 dari Myanmar, enam dari Vietnam, manakala selebihnya melibatkan pasport dari Indonesia, Ghana, India, Pakistan, Bangladesh dan Syria.

Turut disita dua unit telefon bimbit, satu salinan dokumen milik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), serta sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire yang dipercayai digunakan oleh sindiket.

“Modus operandi sindiket adalah menguruskan PLKS untuk warga asing yang tidak memiliki pas sah dengan bayaran sekitar RM11,000 seorang. Hasil semakan awal mendapati maklumat pada ePLKS telah dipinda dan tidak wujud dalam sistem imigresen,” jelas beliau.

Sindiket terbabit dipercayai telah beroperasi sejak penghujung tahun lalu.

Kesemua individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya untuk tindakan lanjut. Dua lagi individu tempatan turut diberi notis untuk hadir membantu siasatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE