fb fb fb fb fb

Public Bank diarah bayar RM90 juta kepada NFCorp

FOTO HIASAN

PUTRAJAYA, 18 Jun- Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan Public Bank Berhad membayar sejumlah RM90 juta kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Pengerusinya Datuk Mohamad Salleh Ismail serta tiga syarikat subsidiarinya, susulan pelanggaran kontrak melibatkan kerahsiaan maklumat akaun bank.

Keputusan sebulat suara itu dicapai panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, bersama Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abu Bakar Jais.

Mahkamah menganugerahkan ganti rugi berjumlah RM30 juta bagi setiap kategori kerugian iaitu ganti rugi ekuiti, teladan dan teruk menjadikan jumlah keseluruhan RM90 juta.

“Public Bank hendaklah membayar faedah sebanyak dua peratus setahun ke atas jumlah penghakiman ini, berkuat kuasa mulai hari ini sehingga bayaran diselesaikan sepenuhnya,” kata Hakim Hasnah ketika membacakan keputusan.

Menurut beliau, pihak perayu telah mengemukakan laporan kewangan serta akaun beraudit menerusi keterangan seorang saksi pakar yang tidak dicabar oleh pihak bank.

Mahkamah turut berpandangan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah silap apabila menyatakan para perayu gagal membuktikan kerugian dan hanya memberikan RM10,000 sebagai ganti rugi nominal.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE