fb fb fb fb fb

Sindiket kereta palsu perdaya pekebun, RM110,840 lebur

Seorang pekebun lelaki berusia 55 tahun kerugian RM110,840 selepas diperdaya sindiket penipuan pembelian kereta dalam talian sejak awal bulan ini/Foto Hiasan

KOTA TINGGI, 26 September – Seorang pekebun lelaki berusia 55 tahun kerugian RM110,840 selepas diperdaya sindiket penipuan pembelian kereta dalam talian sejak awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata mangsa mula terpedaya selepas melihat iklan penjualan sebuah kereta sedan terpakai pada harga RM49,000.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat 17 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza sehingga jumlah keseluruhan bayaran melebihi nilai harga kereta yang ditawarkan.

“Bayaran tersebut kononnya untuk tujuan deposit, pendaftaran dan proses pembelian berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mangsa yang menyedari dirinya ditipu telah membuat laporan polis semalam.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN